
Cerpen ini ialah nukilan saya yang pertama. Walaupun tidak berjaya mendapat nama dalam pertandingan, saya kira ini merupakan langkah pertama yang amat penting untuk menjejakkan kaki ke dalam dunia sastera Melayu. Di sini saya kongsikan cerpen ini untuk bacaan umum. Silakan.
(Harap maaf sekiranya cerpen ini tidak menepati selera anda...err hello hello ada orang tak? Tak apalah aku syok sendiri)
KHOO PHAU LIANG
3 FEBRUARI 2019
____________________________________________________________
BASIKAL
CIKGU
“Akhirnya...sampai
pun!” Aku memberhentikan keretaku di hadapan sebuah rumah teres yang agak usang.
Hari yang sudah malam membuatkan rumah itu kelihatan lebih seram daripada
biasa. Rumah usang itulah rumah sewa aku di tempat aku mengajar. Itulah rumah
yang aku mampu sewa buat masa ini, lagipun gajiku tak tinggi.
Perjalanan
dari Tanah Merah ke Jerteh telah memakan masa lebih kurang satu jam. Inilah
kali pertama aku memandu kereta begitu jauh. Perjalanan selama satu jam itu
memang agak penat, tetapi aku puas hati. Sebelum ini, untuk pergi ke tempat
mengajar dari kampung halamanku, aku perlu menaiki bas. Dari Tanah Merah aku
akan naik bas ke Machang, kemudian naik bas Machang ke Pasir Puteh, dan
akhirnya naik bas Pasir Puteh ke Jerteh, perjalanan yang selalunya mengambil
masa 2-3 jam. Itulah yang terpaksa aku lalui setiap kali musim cuti sekolah. Sekarang,
semua itu telah jadi pengalaman. Tahun baharu ini aku dah ada keretaku sendiri.
Aku turun dari kereta, lalu membuka
pintu pagar rumah sewaku. Kemudian aku masuk semula ke dalam kereta, dan dalam
gelap aku memandu keretaku ke dalam pekarangan rumah yang sempit, hanya
bergantung kepada lampu kereta yang menyuluh ke depan. Memang menguji kemahiran aku sebagai pemandu
baharu!
“BAMM!”
Bunyi hentakan yang kuat memecahkan keheningan malam. Alamak, aku terlanggar
sesuatu ke? Habislah kereta baharu aku!
Aku
bergegas turun dari kereta, lalu mengeluarkan telefon bimbitku untuk menyuluh
di dalam gelap.
“Laa...terlanggar
basikal rupanya.” Sebuah basikal jatuh terdampar di sebelah kiri keretaku.
Mungkin tadi basikal itu ada di tepi. Aku pula memandu tengok ke depan sahaja.
Tetapi basikal tidak penting, yang penting...
Aku
menyuluh ke arah keretaku.
“Mujur
tak calar kereta baharu aku! Ini semua kau punya pasallah!” Aku menyumpah
basikal itu di dalam hati, sambil membelai lembut bahagian kereta yang terlanggar
basikal itu tadi. Kemudian, aku mengangkat basikal itu, dan kualihkan ke
belakang rumah. Ada kesan calar pada besi basikal itu akibat dilanggar kereta
tadi, tetapi aku malas untuk ambil peduli. Ah, basikal itu memang menyusahkan!
Sambil
terkumat-kamit mulutku menyumpah basikal itu, aku berjalan ke hadapan rumah
untuk mengunci pintu pagar. Kemudian, aku memeriksa kereta baharuku sekali
lagi. Jangan ada calar di atas kereta baharu aku ini, tidak boleh!
“Esok
naik kereta baharu ke sekolah, mesti ramai yang puji nanti.” Aku tersenyum
sendiri dan masuk ke dalam rumah. Di dalam rumah, aku membuka suis lampu dan
kipas lalu duduk menghilangkan penat. Mataku tertangkap sesuatu yang bersinar
di bawah meja. Aku pun membongkok untuk mengutipnya.
Kunci
basikal rupanya. Aku membelek-belek kunci tersebut, di atasnya tertulis nombor
230418. Ini tarikh aku membeli basikal itu. Masihku ingat lagi pada masa itu...
Setahun yang lepas...
“Pak
cik, saya nak basikal satu.” Aku berkata kepada seorang lelaki tua yang aku
kira pemilik kedai basikal itu. Sudah beberapa hari aku berhajat untuk datang
ke kedai basikal itu, cuma aktiviti petang sekolah tidak mengizinkan. Hari ini
aku balik awal sedikit berbanding hari-hari lain, dapatlah aku datang ke kedai
basikal itu.
“Boleh,
adik nak basikal macam mana? Nak basikal untuk ke sekolah atau untuk kayuh naik
bukit?” Dia bertanya sambil memandang aku dari atas ke bawah berulang kali. Aku
ini orang baharu di bandar Jerteh ini, tentu sekali dia belum pernah melihat
mukaku sebelum ini.
“Saya
nak basikal untuk ke sekolah. Ada tak? Harganya berapa pak cik?” Aku bertanya
lagi. Kalau boleh, aku nak basikal yang murah tetapi tahan lama.
“Ohh,
yang murah ada, yang mahal pun ada. Kamu nak naik ke sekolah rasanya yang murah
pun boleh dah, lebih kurang RM300 pak cik beri. Boleh?” Dia menduga.
“RM300
ya? Bolehlah pak cik. Saya nak.” Aku bersetuju tanpa berfikir panjang. Kalau
nak suruh aku pilih memang aku tak pandai, sebab ini kali pertama aku membeli
basikal. Lagipun, jumlah duit itu tidak melebihi bajet bulanan aku.
“Ok
kalau begitu kamu tunggu sekejap. Pak cik pasang basikal kamu dulu. Oh ya, kamu
belajar di sekolah mana?” Dia mula menyelidik latar belakangku.
“Saya
dah habis belajar pak cik. Sekarang saya mengajar, bukan belajar.” Aku
tersengih menjawab soalan. Dia terkebil-kebil melihatku.
“Biar
betul cikgu ini. Nampak macam budak lagi. Eh, tunggu! Cikgu nak kayuh basikal
ke sekolah?” Berkerut dahi dia memandang aku seakan-akan tidak percaya.
“Yalah
pak cik. Saya tak ada kereta lagi.” Spontan aku menjawab. Dia menepuk dahi
sendiri.
“Aduhai...tak
pernah lagi aku nampak cikgu kayuh basikal ke sekolah! Kalau ya pun baru
bekerja, belilah motor. Cikgukan cikgu!” Dia sudah mula menggunakan gelaran
cikgu. Memang betullah, cikgu kalau di mana-mana pun orang tetap panggil cikgu.
Segan aku dibuatnya.
“Tak
apalah pak cik. Saya rasa naik basikal pun seronok juga!” Aku menjawab.
“Hmmm..yalah.
Hah, basikal cikgu dah siap pun. Lain kali kalau basikal cikgu ada masalah,
datang ke kedai aku. Panggil aku Pak Cik Ming.” Dia memperkenalkan diri. Baru
aku tahu namanya setelah berbual panjang.
“Terima
kasih Pak Cik Ming. Pak Cik Ming boleh panggil saya Khoo.” Aku menghulurkan
wang sebanyak RM300 kepadanya. Sesekali aku mencuri tengok basikal yang baru
siap dipasang itu. Cantik!
“Eh
silap itu, mana boleh panggil begitu! Kena panggil Cikgu Khoo!” Pak Cik Ming berseloroh.
Aku tertawa dan berjabat tangan dengannya.
Gembiranya
aku! Basikal baharu ini cantik sekali. Aku mula mengayuh. Pada mulanya
kayuhanku terasa berat dan perlahan, tetapi lama-kelamaan semakin ringan dan
laju. Sudah sekian lama aku tidak mengayuh basikal. Perasaanku ketika itu
seperti burung yang baru belajar untuk terbang. Hatiku menari di awang-awangan.
“Mulai hari ini aku akan menjaga kau dengan
baik. Susah senang kita bersama!” Aku berjanji di dalam hati sambil mengayuh
dengan gembira. Tidak sabar aku untuk memberitahu Cikgu Jasmine, guru penolong
kanan yang memberi aku tumpang keretanya ke sekolah setiap hari sebelum ini,
memandangkan rumahnya paling dekat dengan rumah sewaku. Mulai esok, bolehlah
aku pergi ke sekolah sendiri, tidak perlu menyusahkan sesiapa lagi!
“Eh,
cikgu itu naik basikallah! Betul cikgu itu naik basikal!” Baru sahaja hari
pertama aku mengayuh basikal ke sekolah, satu sekolah sudah gempar dengan
berita cikgu naik basikal. Murid-murid yang paling kecoh menyebarkan berita
ini. Yang berusaha guru besar, yang dihormati guru penolong kanan, sahabat guru-guru,
malah Pak Cik Jaga dan Mak Cik Sekolah yang dikasihi semuanya datang menemuiku
untuk mengajukan pelbagai bentuk soalan yang memerlukan Kemahiran Berfikir Aras
Tinggi (KBAT).
“Berapa
lamakah masa yang diambil untuk kamu kayuh basikal dari rumah ke sekolah?”
Soalan daripada guru besar.
“15-20
minit sahaja puan.” Aku menjawab sambil tersenyum.
“Berapakah
harga basikal kamu?” Soalan daripada Cikgu Wong, guru kelas aku dahulu,
sekarang menjadi rakan sejawatku di sekolah ini.
“RM300,
cikgu.” Aku menjawab, tersenyum.
“Adakah
kamu berhasrat untuk mengayuh ke sekolah setiap hari?” Soalan daripada Cikgu
Kang, guru disiplin yang nampak garang tetapi peramah orangnya.
“Ya
cikgu.” Aku menjawab, tersenyum lagi.
“Apakah
persediaan kamu sekiranya tiba musim hujan nanti?” Soalan daripada Mak Cik
Sekolah. Dia memang baik terhadap semua cikgu dan murid di sekolah ini. Soalan
yang diajukan olehnya memang bukan calang-calang bisanya.
“Saya
dah sediakan baju dan seluar hujan mak cik. Kalau hujan renyai saya pakailah;
kalau hujan lebat saya tunggu hujan berhenti dulu.” Jelasku panjang lebar.
“Bagaimanakah
kamu memastikan keselamatan diri kamu semasa mengayuh di jalan raya?” Soalan
daripada Pak Cik Jaga sekolah. Memang betullah, pekerjaan seseorang itu amat
mempengaruhi pemikirannya. Apa-apa pun, keselamatan yang paling penting.
“Abang
Jaga, sebelum melintas jalan, saya akan pastikan tiada kenderaan laju yang
datang dari kiri atau kanan. Saya juga akan memakai baju yang berwarna terang
supaya pemandu kereta dapat melihat saya dari jauh.” Jawapan ini yang
kuberikan. Rasanya layak diberi markah penuh dengan penjelasan sebegitu.
Itulah
antara soalan yang dapat aku senaraikan. Berbuih-buih mulutku menjawab soalan KBAT
daripada cikgu-cikgu dan pekerja sekolah. Tetapi temu ramah aku tidak berakhir
setakat itu sahaja. Di dalam kelas juga sesi temu ramah terselit tanpa diduga.
Masih aku ingat lagi semasa aku mengajar murid kelas Sains tahun lima, topik “Tenaga
yang boleh diperbaharui & tenaga yang tidak boleh diperbaharui”.
“Murid-murid,
ingat ya. Tenaga yang tidak boleh diperbaharui ialah sumber tenaga yang tidak
boleh digantikan dalam jangka masa yang singkat apabila habis digunakan.
Contohnya macam minyak petrol kereta. Satu hari nanti kalau minyak petrol
habis, macam mana?” Aku cuba mencungkil idea daripada murid-muridku.
“Cikgu,
izinkan saya bertanya satu soalan sebelum menjawab soalan cikgu.” Salah seorang
murid yang memang terkenal kenakalannya menjawab. Namanya Brian.
“Silakan
Brian.” Aku memberi kebenaran kepadanya.
“Cikgu,
berapakah harga basikal cikgu?” Dia menyoal dengan muka yang serius.
“RM300.
Kenapa?” Aku dah bisa mengagak ada sesuatu yang tak kena.
“Oh...jadi
mulai sekarang kami semua kena simpan duit RM300. Nanti kalau minyak petrol
habis, kami kayuh basikal ke sekolah sama-sama, macam cikgu!” Dia menjawab
dengan yakin. Satu kelas tertawa terbahak-terbahak.
“Pandai
kamu Brian, memang betul jawapan kamu itu!” Aku pula yang dikenakan. Tetapi
jawapannya memang betul dan boleh diterima. Kalau dalam peperiksaan dia sudah
memperoleh dua markah. Yang hairannya setiap kali peperiksaan dia tak menjawab
pun, dibiarkan kosong dengan alasan tidak tahu jawapan yang betul. Ish Brian...Brian...
Walaupun
diasak dengan beribu soalan pada masa itu, perasaanku masih tidak berubah,
masih seronok mengayuh dan ingin terus mengayuh ke sekolah setiap hari. Tidak
kira ke bandar, kedai makan, sekolah, atau mana-mana pun aku akan mengayuh
basikal. Senang hati aku kerana dapat ke mana-mana dengan bebas tanpa
menyusahkan sesiapa.
Kadang-kadang
sekolah ada mesyuarat pada waktu malam. Aku ingin juga berbasikal, tetapi guru
lain melarangku kerana risiko berbasikal pada waktu malam sangat tinggi. Jadi
aku terpaksa menumpang kereta Miss Jasmine lagi. Beliau memang baik hati,
tetapi sejujurnya aku tidak selesa kerana menyusahkan orang lain.
Ada
satu kali aku diajak oleh Cikgu Wong untuk bermain badminton dengan guru-guru
lain pada setiap minggu hari Isnin. Hatiku memang teringin untuk bermain
bersama-sama mereka, tetapi aku menolak dengan baik. Masalah sebenarnya ialah
masa mereka bermain pada waktu malam. Basikal aku pula tidak berlampu. Tetapi
Cikgu Wong yang telah banyak makan garam tahu isi hatiku. Beliau sanggup
menghantar aku ke gelanggang badminton setiap Isnin malam. Aku sangat gembira,
tetapi pada masa yang sama aku juga berasa sedih kerana menyusahkan beliau.
Tidak lama selepas itu aku dipanggil
untuk menghadiri kursus, jarak lokasi kursus dari rumahku ialah 15km, kalau
naik kereta pun perlu setengah jam baru sampai. Kalau naik basikal...mungkin
satu jam setengah. Aku buat pengiraan di dalam otak. Macam mana ini? Aku tidak
mahu menyusahkan cikgu lain. Kalau guna aplikasi Grab tentu mahal. Masa itu aku memandang basikalku, dan seolah-olah
basikalku berbisik ke dalam hati ini, percayalah padaku! Aku nekad.
Hari kursus itu, aku bertolak pada
pukul 6.30 pagi dan mula mengayuh ke tempat kursus. Memang jauh tempat itu,
tetapi aku kayuh dan terus kayuh sehingga tiba di sana. Jangkaanku tepat. Masa
yang diambil untuk mengayuh ke sana ialah satu jam setengah. Habis bajuku basah
kuyup dek peluh yang tidak berhenti mengalir. Mujur guru-guru lain yang turut
berkursus di sana tidak perasan. Petang itu sehabis kursus aku terus mengayuh
pulang. Matahari yang terik membuatkan kayuhanku semakin perlahan. Kulitku
seperti dibakar. Panas! Apabila tiba di rumah, aku turun dari basikal. Sakitnya
pinggulku kerana mengayuh terlalu lama.
“Ish,
kalau naik kereta mesti tak penat macam ini!” keluhku lalu meninggalkan basikal
itu dan masuk ke dalam rumah.
Tidak berapa lama selepas itu aku
ditugaskan pula untuk membawa pasukan sekolah ke negeri orang untuk menyertai
pertandingan peringkat kebangsaan. Guru besar tahu aku tidak mempunyai kereta, jadi
ibu bapa murid sendiri yang diminta untuk memandu kereta dan membawa pasukan
sekolah. Aku pula sebagai guru pengiring hanya menumpang kereta mereka untuk pergi
ke sana. Dalam hati ini aku berasa begitu tidak berdaya, banyak sekali
batasanku kerana hanya mempunyai sebuah basikal. Semasa berkursus aku hanya
menyusahkan diri sendiri, sekarang untuk membawa murid bertanding pula aku telah
menyusahkan orang lain.
Basikalku juga pernah membuat ragam
tanpa diduga. Pernah satu kali tayar basikalku meletup di tengah jalan dalam
perjalanan aku pulang dari sekolah. Aku terkejut...dan malu. Aku dapat
merasakan pandangan orang-orang yang lalu di jalan itu. Aku tidak mahu dikasihani, juga tidak mahu
menyusahkan sesiapa. Lantas aku pun menolak basikal secepat yang boleh ke kedai
Pak Cik Ming. Sepanjang jalan itu aku berdoa di dalam hati, harap-harap tidak
ada yang berhenti, meskipun dengan niat untuk membantuku. Aku tidak mahu
menyusahkan sesiapa.
“Tayar
basikal cikgu ini dah tak ada angin. Sebab itu boleh meletup.” Pak Cik Ming
menjelaskan kepadaku. Aku tertunduk diam.
Baru
aku teringat sudah lama aku tidak mengepam angin tayar basikalku. Tetapi aku
masih enggan mengaku salah sendiri kerana tidak menjaga basikal itu dengan baik.
Bahkan peristiwa demi peristiwa yang berlaku membuatkan aku semakin jauh hati
dengan basikalku itu. Jalan berbukit yang dahulunya seronok aku kayuh setiap
hari kini terasa semakin sukar untuk didaki.
“Ahhh...kenapa
payah sangat kayuh naik bukit ini!” Kadang-kadang aku mengeluh sendirian,
tetapi tetap kuteruskan kayuhanku setiap hari.
Penghujung
tahun beransur tiba, membuatkan hatiku semakin tidak tenteram. Harap-harap
musim hujan tiba lewat sedikit tahun ini, aku berdoa setiap hari. Tuhan ternyata
amat sayang akan diriku. Walaupun musim hujan, tetapi kebanyakan masa aku
mengayuh ke sekolah dan mengayuh pulang dari sekolah, hujan akan berhenti.
Kadang-kadang hujan lebat aku mengayuh ke sekolah juga. Walaupun berbaju hujan,
baju kemejaku tetap basah terkena air hujan. Melihatku dalam keadaan begitu,
Miss Jasmine akan memarahiku kerana tidak menumpang kereta beliau ke sekolah.
Aku hanya tersenyum kerana aku memang tidak suka menyusahkan orang lain.
Dan
dalam keadaan sebegitu, aku meneruskan kayuhanku setiap hari sehingga tibanya
cuti akhir tahun. Setiap hari aku katakan kepada diriku sendiri, bertahanlah
sehingga cuti nanti, selepas itu semuanya akan berubah. Cuti akhir tahun
sememangnya sesuatu yang dinanti-nantikan oleh semua guru, aku juga begitu.
Tetapi motifku berbeza daripada guru-guru lain. Aku menantikan cuti akhir
tahun, menantikan ketibaan kereta baharu yang telah kubeli dengan kenalanku.
Selepas ini, aku tidak perlu menjaga basikal ini lagi...
Kembali ke masa kini...
“Cikgu
Khoo...Cikgu Khoo...” Kedengaran namaku dipanggil dari luar.
Lamunanku
terhenti. Aku keluar untuk melihat. Oh, jiranku, Mak Cik Marie rupanya.
“Ya
mak cik.” Aku menyahut.
“Wah...cantiknya
kereta baharu cikgu! Tadi mak cik terdengar bunyi kereta, ingatkan siapa yang
datang. Rupa-rupanya cikgu yang balik dengan kereta baharu.” Mak Cik Marie
berkata sambil memandang ke arah kereta aku.
“Yalah
mak cik. Cuti sekolah dah habis. Esok saya kena pergi ke sekolah.” Aku menjawab
mesra.
“Naik
kereta baharulah ke sekolah lepas ini ya. Basikal cikgu mana?” Mak Cik Marie
bertanya. Aku menjadi tidak selesa.
“Ada
di belakang rumah. Kenapa mak cik?” Aku bertanya balik.
“Hmm
yalah. Mak cik sebenarnya suka dengan basikal cikgu itu.” Mak Cik Marie
menjawab perlahan.
“Mak
cik suka dengan basikal saya?” Pelik pula aku mendengarnya.
“Yalah
selalu juga mak cik tengok basikal itu bawa cikgu ke hulu ke hilir. Setiap hari
mak cik tengok cikgu kayuh basikal itu muka cikgu ceria sahaja. Cikgu berkursus
di tempat jauh pun dia yang bawa cikgu. Satu tahun basikal itu menjaga cikgu.
Kalau cikgu tak beli basikal itu entah bagaimanalah nasib cikgu masa itu, gaji
pun tak keluar lagi. Basikal cikgu itu memang dah banyak berjasa.” Mak Cik
Marie berkata.
Aku terdiam. Teringat aku akan
janjiku kepada basikal itu. Rupa-rupanya aku tersilap selama ini. Sejak hari
pertama aku membeli basikal itu, bukan aku yang menjaga basikal itu, tetapi
basikal itu yang menjaga aku. Susah senang basikal itu jugalah yang menemani
aku. Kenapa aku tidak sedar selama ini? Aku mula insaf.
“Selepas ini tentu cikgu akan naik
kereta ke sekolah setiap hari, betul tak?” Mak Cik Marie bertanya setelah lama
melihat aku mendiamkan diri.
“Emm..mak cik.” Aku menjawab seraya tersenyum.
“Saya rasa esok saya nak kayuh basikal jugalah ke sekolah. Kereta ini kalau
hujan baru saya akan guna. Saya sayang basikal saya.”
“Eh, pula dah!” Mak Cik Marie berasa
pelik. “Dah ada kereta pun nak kayuh basikal lagi. Habis sampai bila cikgu nak
kayuh basikal ke sekolah?”
“Entahlah
mak cik. Sampai pencen agaknya!” Aku tersengih-sengih. Lalu aku pun meminta
diri dan bergegas mengambil pam basikal ke belakang rumah.
Terima kasih kerana telah menjagaku
selama ini, basikal!
Comments
Post a Comment