Selamat Hari Laoshi



Tarikh keramat 22 Januari 2018. Pada hari itulah, aku mula digelar “Laoshi”, walaupun statusku hanya guru interim yang belum disahkan jawatannya. Perasaanku ketika itu, aku kira aku bertuah, kerana aku sudah mempunyai kerja. Impianku telah tercapai. Jujur aku katakan, impianku adalah mempunyai sebuah kerja yang terjamin, gaji yang tetap dan hidup yang sederhana. Kerja untuk hidup, itulah yang terpahat pada mindaku ketika itu.
       Masa berlalu hari demi hari. Aku masuk ke kelas mengajar subjek bukan kegemaranku, Sains dan Bahasa Cina. Subjek major aku Bahasa Melayu, tetapi sayang seribu sayang, jodohku dengan Bahasa Melayu tidak kesampaian di sekolah ini. Inilah realiti yang harus diterima oleh kebanyakan guru. Memang, aku cemburu dengan rakan-rakan yang mengajar Bahasa Melayu. Bagaimanakah perasaan mereka apabila digelar “Cikgu”? Sedangkan aku pula begitu muak dengan gelaran “Laoshi”. Tetapi, semua itu kupendam sahaja dalam kalbu. Aku teruskan pengajaranku, usahlah ditanya rela ataupun paksa.
          Namun, rupa-rupanya dugaan ini ada hikmah di sebaliknya. Aku mengaku, di dalam kelas semasa aku mengajar Sains dan Bahasa Cina, ketika murid sedang belajar, sebenarnya, aku juga sedang belajar bersama-sama mereka. Perasaan ketika mempelajari sesuatu yang telah lama dilupai sukar untuk kugambarkan. Sudah tentulah anak muridku tidak tahu, dan kurasa mereka tidak akan pernah tahu, yang aku sedang belajar bersama-sama mereka setiap hari.
Mereka memanggilku “Laoshi” entah berapa kali dalam sehari, dengan mata yang bersinar-sinar dan senyuman yang begitu ikhlas, cantik sekali. Ada masanya aku terharu, walau sekuat mana jeritan marahku terhadap anak-anak kecil ini, mereka masih memanggilku dengan gembira keesokan harinya. “Laoshi! Laoshi! Laoshi!” aku sudah mula biasa. Rasanya...kalau tak dapat jadi “Cikgu”, jadi “Laoshi” pun ok juga.
Baru-baru ini sahaja statusku sebagai guru interim digugurkan, dan digantikan dengan status sebagai guru DG41. Rakan serumahku sudah berpindah, dan bermula pada masa itulah aku terpaksa mencari jalan sendiri untuk ke sekolah. Maklumlah, gajiku belum keluar lagi. Aku belum mampu mempunyai kenderaan sendiri, usahkan kereta, malah motor juga tidak mampu kubeli.  Aku membeli sebuah basikal, dan dengan basikal itulah aku kayuh ke sekolah setiap hari. Pagi-pagi naik basikal ke sekolah, anak muridku hairan melihat kelainan. Lain benar aku ini gamaknya. Tetapi, gelaranku tak berubah juga, masih tetap sama “Laoshi”.
Setakat hari ini aku bekerja, aku rasa, aku masih boleh teruskan kerjayaku sebagai “Laoshi”, walaupun hanya berbasikal ke sekolah. Aku rasa, aku masih boleh teruskan, mungkin 5 tahun...mungkin 10 tahun...20 tahun..aku rasa, aku boleh teruskan sampai pencen. Jadi “Laoshi” pun ok juga, betul tak?



Comments